
7 Pekan Kecil Yang Perlu Anda Lawati di Malaysia
Apabila bercakap tentang percutian, selain ke kota-kota besar yang sudahpun masyhur, apa kata kita terokai bandar ataupun pekan yang kecil pula?
Berikut adalah senarai tujuh bandar kecil sekitar Malaysia! Anda pasti akan mengenali Malaysia dengan lebih intim apabila melawat bandar-bandar kecil kerana anda akan dapat mengenali budaya setempat dengan lebih dekat!
1. Sandakan, Sabah
Bercakap tentang Sabah, kebanyakan pelancong sudah biasa dengan Kota Kinabalu. Untuk kelainan, apa kata anda pergi ke Sandakan pula, iaitu pusat bandar kedua terbesar di Sabah? Ia boleh diakses dari Kuala Lumpur (KLIA) melalui jalan udara dan hanya mengambil masa dua jam 55 minit sehala. Sebaik sahaja tiba di Sandakan, anda boleh melawat beberapa tarikan yang menakjubkan seperti Sepilok untuk menyaksikan orang utan yang ikonik dan Pusat Penemuan Hutan Hujan (Rainforest Discovery Centre) untuk menikmati hidupan liar Borneo, di samping melihat monyet belanda yang nakal di Teluk Labuk. Ia juga terletak di sebelah laut, oleh itu tempat makanan laut yang murah banyak terdapat di sini! Anda juga boleh melihat penyu bertelur di Pulau Penyu. Terdapat pasar malam yang meriah setiap hari di Sandakan untuk anda menikmati makanan tempatan.
ADVERTISEMENTS

2. Kota Belud, Sabah
Pekan kecil yang tenang ini agak tersorok, namun bukan sahaja ia damai, malah ia juga menawarkan pemandangan pantai yang menakjubkan yang boleh ditemui di Kampung Rampayan Laut, hanya sekitar setengah jam dari pusat bandar! Kota Belud juga sesuai untuk pencinta alam kerana mereka boleh mendirikan khemah di tapak Kem Polumpung Melangkap View yang mempunyai aliran air yang segar dan jernih berasal dari Gunung Kinabalu. Pengunjung juga boleh menyaksikan keagungan Gunung Kinabalu dari tapak perkhemahan!
3. Tuaran, Sabah
Ingin tahu bagaimana rasanya hidup di bawah tanah seperti semut? Tuaran menawarkan anda pengalaman untuk pergi ke bawah tanah di Borneo Ant House yang mempunyai dinding yang dipenuhi semut! Tuaran juga mempunyai Pekan Koboi, oleh itu pengunjung boleh merasai pengalaman menunggang kuda dan menjadi koboi selama sehari! Mereka yang lebih sukakan percutian yang menenangkan boleh memilih Puncak Harapan, tempat sesuai untuk menyaksikan matahari terbenam sambil bermain buai dan berbarbeku!
4. Kampung Baru, Broga, Negeri Sembilan
Jika anda suka aktiviti berunsurkan pendakian, anda harus melawat Kampung Baru, Broga, untuk mendaki Bukit Broga bersama keluarga dan rakan-rakan! Anda juga boleh menikmati ikan bakar di gerai berdekatan yang dipanggil “Nan Peng You” yang beroperasi sejak 1990-an. Satu lagi tarikan di kawasan itu ialah kuil Sak Dato yang berusia 150 tahun, yang sudahpun berkhidmat sebagai rumah ibadat untuk komuniti Broga yang kebanyakannya Cina selama lebih 140 tahun dan dibina semula pada tahun 1991.

5. Bekok, Labis, Johor
Jika anda bosan dengan Johor Bahru, sila ke Bekok, Labis di Johor! Antara aktiviti yang boleh anda lakukan ialah menerokai Taman Rekreasi Sungai Batang, berendam di Air Terjun Bekok dan menyegarkan badan di Mata Air Panas Labis. Ingin tahu tentang budaya Hakka? Anda boleh pergi ke Bekok Mini Hakka Museum. Pengunjung boleh menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) untuk sampai ke Bekok.
6. Taiping, Perak
Mereka yang mencari destinasi mesra keluarga harus melawat Taiping, Perak, kerana bandar ini mempunyai Zoo Taiping, zoo tertua di Malaysia yang menawarkan peluang para pengembara melihat haiwan bukan sahaja pada waktu siang tetapi juga pada waktu malam! Terdapat juga muzium-muzium menarik seperti Muzium Taiping, Muzium Rumah Lama, Muzium Matang dan banyak lagi yang memberikan gambaran tentang kehidupan zaman dahulu. Anda juga boleh berseronok bermain air di Kolam Burma (Kolam Renang Batu Besar) atau klik di 5D Art Paradise Taiping!
ADVERTISEMENTS

7. Tanah Rata, Pahang
Sukakan bau aroma teh segar, cuaca sejuk dan landskap hijau yang subur? Tanah Rata, Pahang sememangnya tempat yang tepat untuk anda alaminya! Anda boleh berdiri di tengah-tengah ladang teh yang luas dan mengambil gambar untuk halaman Instagram anda. Terdapat juga taman lavender yang anda boleh menenangkan fikiran dan jiwa anda dengan melihat bunga mekar dalam pelbagai warna sambil merasai aiskrim lavender, selain menikmati strawberi yang baru dipetik!
Artikel ini telah dialih bahasa oleh Hady Armeen. Baca artikel asal dalam Bahasa Inggeris di sini.
Leave a Reply