Apabila kita membincangkan tentang percutian di pulau dan pantai, nama-nama seperti Perhentian, Tioman, Port Dickson dan Chenang kerap muncul di fikiran. Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa pulau dan pantai lain yang boleh anda pilih. Jadi, kepada sesiapa yang bercuti Malaysia, apa kata anda ambil peluang ini untuk menerokai pulau-pulau dan pantai-pantai yang tidak pernah anda kunjungi sebelum ini?
1. Pulau Tenggol, Terengganu
Terletak tidak jauh dari Perhentian dan Redang, pulau ini tidak dipenuhi oleh mereka yang suka berjemur di bawah sinaran matahari. Namun begitu, Pulau Tenggol mampu menjadi salah satu tempat terbaik untuk anda nikmati percutian mewah di pantai. Ini kerana pengunjung boleh menjalankan aktiviti snorkelling, berpeluang untuk menyaksikan pelbagai jenis batu karang di lautan, mengekori kumpulan yu paus dan menjelajahi tukun bangkai kapal. Percutian di Tenggol sememangnya amat berbaloi!
Cara untuk datang ke sini: Naiki feri atau bot dari jeti Kuala Dungun ke Tenggol yang mengambil masa sekitar 50 minit.
2. Pulau Gemia, Terengganu
Gemia terletak sejauh 18 kilometer dari Marang dan nama tempat ini diinspirasikan daripada pokok kundang, atau lebih dikenali sebagai gemia di kalangan masyarakat Terengganu. Meskipun pulau ini kecil sepertimana kebanyakan pulau di Terengganu, Gemia kaya dengan hidupan laut, menjadikan pulau menarik untuk aktiviti snorkelling dan selaman skuba! Jika anda tidak begitu berminat dengan aktiviti tesebut, anda juga boleh bersiar-siar di sekitar pantai di pulau untuk menenangkan minda serta menikmati suasana percutian, termasuk menjamu selera di restoran di Gem Island Resort & Spa.
Cara untuk datang ke sini: Pergi ke jeti Merang di Kuala Terengganu dan naiki feri selama 15 minit ke Gemia.
3. Pulau Lang Tengah, Terengganu
Dengan keindahan air laut yang berwarna biru kehijauan dan pantai berpasir putih, Lang Tengah menawarkan kepelbagaian hidupan laut. Taburan pelbagai jenis batu karang dalam laut mewujudkan kesesuaian bagi aktiviti snorkelling dan selaman skuba, selain laluan denai kembara serta pantai yang bertaburan dengan keindahan biopendarcahaya berwarna biru pada waktu malam. Memandangkan pulau ini dilitupi dengan hutan hujan, anda perlu bersedia menyaksikan pemandangan semulajadi yang menakjubkan semasa berada di sini.
Cara untuk datang ke sini: Naiki bot dari jeti Merang dan sampai ke Lang Tengah selama 45 minit.
4. Pulau Pom Pom, Sabah
Sabah mempunyai beberapa pulau yang menakjubkan di Malaysia. Pulau Pom Pom – terletak 30 kilometer arah timur laut dari pekan Semporna – merupakan sebuah pulau kecil yang mempunyai pantai berkilauan, dikelilingi oleh lebih daripada 500 spesis batu karang yang meriah dan salah satu habitat penting bagi pemakanan serta tempat tinggal penyu. Tambahan lagi, lambakan pusat penginapan dengan banglo atas air mirip Maldives, menawarkan pengalaman percutian impian di pulau.
Cara untuk datang ke sini: Bergerak dari Tawau ke jeti Semporna, seterusnya naiki bot laju yang mengambil masa sekitar 40 minit ke Pom Pom.
5. Pulau Mabul, Sabah
Pulau yang kurang diketahui ini terletak di Tenggara Sabah dan berjarak lebih kurang 40 minit sahaja dari Semporna. Salah satu tarikan utama Pulau Mabul adalah hidupan marin yang boleh ditemui di sepanjang dasar laut di sini, dan sememangnya sesuai bagi tujuan snorkelling, menyelam, belayar dan memancing. Pengunjung juga boleh mengetahui lebih mendalam berkenaan kehidupan masyarakat Bajau Laut, termasuk lokasi sarang penyu dan penetasan telur penyu. Jangan lupa untuk nikmati air cetek berpasir dengan menyertai aktiviti muck-diving kerana pasir di Laut Celebes merupakan tempat tinggal bagi hidupan laut makro.
Cara untuk datang ke sini: Dari Semporna, anda boleh naiki bot laju ke Mabul yang mengambil masa lebih kurang 35 minit. Cara lain adalah dengan menaiki bot selama 30 minit ke Mabul dari Pulau Sipadan.
6. Pulau Tiga, Sabah
Pulau Tiga adalah lokasi rancangan TV ‘Survivor’ oleh rangkaian CBS TV dari Amerika Syarikat menjalankan penggambaran. Bagi sesiapa yang ingin menelusuri pulau yang penuh dengan hidupan liar dan keindahan semulajadi, Pulau Tiga menepati kesemua kriteria. Terletak di pantai barat Sabah dan boleh dijejaki melalui Kuala Penyu, Pulau Tiga mempunyai beberapa pusat penginapan dan aktiviti paling terkenal di sini adalah mendaki gunung berapi lumpur, selain selaman skuba, snorkelling, dan jungle trekking.
Cara untuk datang ke sini: Pandu ke Kuala Penyu dari Kota Kinabalu dan naiki bot selama 30 hingga 40 minit untuk sampai ke Pulau Tiga.
7. Pantai Pasir Tengkorak, Langkawi
Pantai Pasir Tengkorak adalah sebuah pantai terpencil di Barat Laut Langkawi. Nama tersebut datang dari sebuah kisah lagenda berkenaan tengkorak-tengkorak mangsa di dalam bangkai kapal yang terletak di sekitar pantai tersebut. Sementara pengunjung boleh menikmati air biru jernih di pantai ini, mereka juga boleh menjelajah ke dalam hutan hujan berdekatan dan meneroka air terjun tiga tingkat serta yang tertinggi di Langkawi, dikenali sebagai Temurun. Sebagai salah sebuah pantai terbersih di Langkawi, Pantai Pasir Tengkorak menawarkan persekitaran tenang dengan pondok-pondok untuk pengunjung bersiar-siar.
Cara untuk datang ke sini: Dari Datai, pandu ke Jalan Teluk Yu sehingga anda menjumpai papan tanda ‘Hutan Lipur Pasir Tengkorak’ – pintu masuk ke pantai ini terletak berdekatan papan tanda tersebut.