Fokus
Baucar Halal Selangor 2022 Bantu Rakyat Tangani Inflasi
SHAH ALAM, 28 Julai 2022 — Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor hari ini melancarkan Baucar Halal Selangor 2022 dalam usaha meringankan bebanan rakyat Selangor yang kurang berkemampuan terutamanya dalam menangani cabaran pasca COVID-19 dan peningkatan harga barangan di pasaran.
Dianggarkan seramai 2,800 rakyat Selangor yang berpendapatan bulanan isi rumah kurang daripada Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bakal menerima manfaat ini. Mereka akan dikenal pasti oleh Pusat Khidmat Rakyat di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri Selangor. Malahan, penerima Bantuan EHSAN juga layak memohon dan akan dipertimbangkan dengan kelulusan Ahli Dewan Negeri (ADUN).
Baucar yang bernilai RM100 ini boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan berstatus halal dalam satu transaksi di premis-premis terlibat seperti KOHIJRAH, MYDIN, AZZAINMART PENERAJU KEDAI HALAL dan 99 SPEED MART.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Negeri Selangor Yang Berhormat Mohd Zawawi bin Ahmad Mughni, selain membantu rakyat Selangor, program pemberian baucar ini dilihat dapat memberi sokongan dan promosi kepada produk-produk halal, khasnya dalam kategori mikro dan kecil, lantas memperkasakan industri halal di negeri Selangor dengan lebih menyeluruh.