Kuala Langat, 7 November 2022 – Festival Wau Kapal anjuran Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor telah diadakan di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat.
Festival yang berlangsung selama tiga hari itu bermula dari 28 Oktober hingga 30 Oktober 2022 menampilkan penyertaan seramai 1,000 peserta dalam pertandingan Wau Kapal.
Pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori IPTA dan sekolah-sekolah serta kategori Terbuka. Turut diadakan pertandingan Wau Kapal tercantik yang mengumpulkan sehingga 20 orang pemenang.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan, Y.B. Tuan Borhan Bin Aman Shah telah merasmikan festival ini pada 29 Oktober 2022.
Menurut beliau, festival ini merupakan salah satu inisiatif bagi menaikkan kembali budaya bermain Wau Kapal di negeri Selangor dan mengelakkan ia ditelan zaman. Budaya ini perlu dititikberatkan kerana ia merupakan salah satu identiti negeri Selangor.
Wau Kapal merupakan suatu permainan tradisi masyarakat Selangor dan sangat terkenal pada zaman dahulu. Wau Kapal mempunyai unsur-unsur budaya Melayu asli yang dapat dilihat pada rekaan corak wau itu sendiri.
Pertandingan wau kapal yang dimainkan di festival ini menggunakan format ‘main angin’ dan ‘main poncot’. Format ‘main angin’ adalah dengan menerbangkan wau-wau ke atas dan pemenang ditentukan dengan melihat wau paling tegak selepas 20 saat.
Kiraan masa pula ditentukan secara tradisional dengan menggunakan tempurung kelapa yang telah dibelah dan mempunyai lubang di bahagian tengahnya. Tempurung itu akan diletakkan di dalam baldi berisi air, dan akan tenggelam ke dalam air mengikut kiraan masa yang ditetapkan melalui keluasan bukaan lubang di bahagian tengahnya.
Format ‘main poncot’ pula adalah sejenis perlumbaan dan wau yang dihasilkan juga mempunyai kepak yang lebih keras bagi melawan angin serta mampu untuk terbang lebih laju. Pemenang bagi format ini ditentukan dengan melihat wau yang paling tegak pada bahagian ‘pancang’ (penanda aras untuk mengukur ketegakan wau) selepas lima ke lapan saat.
Sekiranya anda ingin mencuba untuk membuat dan bermain Wau Kapal ini, anda boleh singgah ke program homestay Banghuris yang mengggabungkan Kampung Hulu Chuchoh, Kampung Hulu Teris, dan Kampung Bukit Bangkong, kesemuanya di Sepang, untuk merasai pengalaman tersebut.