Drama Khas ‘Selalu Ada’ Terbitan Kerajaan Negeri Selangor Meriahkan Aidilfitri
SELANGOR, 2 Mei 2023 – Kerajaan Negeri Selangor menjadi kerajaan negeri pertama di Malaysia yang menerbitkan drama melalui tayangan drama khas raya ‘Selalu Ada’ pada 9.00 malam, esok, di TV2.
Menurut YB Tuan Borhan Aman Shah, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan Negeri Selangor, tayangan drama berkenaan ialah salah satu hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk berkongsi kegembiraan dan kemeriahan Aidilfitri bersama penduduk negeri Selangor dan seluruh rakyat Malaysia.

“Kerajaan Negeri berasa amat bertuah apabila berjaya mendapat kerjasama pelakon-pelakon hebat tanah air terutama Erra Fazira yang jarang sekali dilihat membintangi drama berbanding filem yang menjadi ‘permainan’ beliau,” ujar beliau selain turut memuji kesemua pelakon yang telah membawakan watak masing-masing dengan amat baik.

Selain Erra Fazira, drama sarat mesej kekeluargaan dan persahabatan itu akan turut dibarisi pelakon-pelakon popular termasuk Syafie Naswip, Datuk Jalaluddin Hassan, Kazar, Sophia Albarakbah, Ropie dan Zarul Imran.
Selain YB Tuan Borhan, drama ini juga akan menyaksikan kemunculan Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor sebagai penampilan khas.

Menjelaskan lebih lanjut tentang drama itu, YB Tuan Borhan berkata bahawa judul ‘Selalu Ada’ menjadi pilihan sebagai satu simbolik kepada peranan setiap pemimpin yang akan sentiasa ada bersama rakyat dalam apa jua keadaan.
“Pengisian drama ini juga akan memperlihatkan usaha Kerajaan Negeri Selangor membantu rakyat dalam menangani isu mahupun permasalahan yang dihadapi,” tambah beliau.

Penonton juga boleh melihat keindahan Selangor di beberapa lokasi penggambaran yang mengambil tempat di sekitar Sekinchan dan Shah Alam.
Drama khas ‘Selalu Ada’ ini diarahkan oleh Che Mie dan skrip ditulis oleh Amin Masyhur. Ia mengisahkan perjalanan tiga orang rakan karib yang telah tamat persekolahan dan akan berpisah kerana mempunyai haluan hidup masing-masing. Ia akan turut memaparkan kisah penduduk kampung dalam persediaan menyambut Aidilfitri.
Drama ini bakal ditayangkan pada 9.00 malam, 3 Mei 2023 di TV2.

Leave a Reply