
‘Kenyir State Park Discovery 2022’ Promosi Tasik Kenyir Sebagai Destinasi Eko-Pelancongan Unik
KENYIR, 30 Januari 2022 – Sebagai usaha mempromosikan Tasik Kenyir sebagai destinasi eko-pelancongan unik, Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) telah menganjurkan program ‘Kenyir State Park Discovery 2022’ bermula 30 hingga 31 Januari 2022.
Program yang dilancarkan oleh Tengku Mohd Arifin Tengku Dato’ A. Rahman, Pengarah MPTN itu antara lain menumpukan kepada aktiviti eko-pelancongan unik seperti memerhati burung (bird-watching) dan meredah hutan (jungle trekking).
Dalam ucapan perasmiannya, Tengku Mohd Ariffin menyifatkan program yang julung kali dianjurkan itu penting bukan semata-mata kerana mempromosikan keunikan Tasik Kenyir, malah memberikan kesedaran kepada masyarakat awam tentang kepentingan menjaga alam semulajadi.
“Perlindungan dan pemeliharaan Taman Negeri Kenyir ini dipertanggungjawabkan kepada MPTN bersama dengan agensi kerajaan yang berkaitan iaitu Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Terengganu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) serta badan bukan kerajaan seperti Nature Based Solution dan PHANTERA.”
“Di era digital ini, penyampaian dan impak yang berkesan berlaku hanya di tapak tangan dan hujung hari sahaja. Kita sama-sama terapkan moto MPTN iaitu ‘Think Future, Go Greeen’,” tegas Tengku Mohd Ariffin.
Taman Negeri Kenyir yang berkeluasan 30 ribu hektar merupakan salah satu taman negeri Terengganu yang kaya dengan kepelbagaian flora seperti pakma tikus, orkid harimau, rafflesia dan fauna seperti harimau, gajah, seladang, beruang, tapir, pelbagai spesis burung dan banyak lagi.
Peminat burung, Anuar McAfee yang juga penulis buku ‘Birds of Terengganu’ menyifatkan Taman Negeri Kenyir antara lokasi memerhati burung terbaik di Malaysia. Ketika mengetuai sesi memerhati burung di Bukit Lawit, beliau turut memperkenalkan kawasan berkenaan yang memilik enam jenis primat serta lebih 300 spesis burung.
“Yang paling menarik untuk diperhatikan di sini ialah burung enggang, antara burung tertua di dunia. Di sini terdapat sembilan jenis enggang iaitu Enggang Papan (Great Hornbill), Enggang Jambul Hitam (Wrinkled Hornbill), Enggang Gatal Birah (Black Hornbill), Enggang Tebang Mentua (Helmeted Hornbill), Enggang Gunung (Wreathed Hornbill), Enggang Kelingking (Oriental Pied Hornbill), Enggang Ubun Putih (White-crowned Hornbill), Enggang Belukar (Bushy-crested Hornbill) dan Enggang Badak (Rhineceros Hornbill).”

“Kepelbagaian burung dengan aneka spesis, saiz dan warna di Taman Negeri Kenyir ini membuktikan bahawa aktiviti memerhati burung di sini adalah salah satu aktiviti eko-pelancongan yang cukup berpotensi untuk diketengahkan,” jelas Anuar.
Program selama dua hari satu malam itu turut mendapat sokongan Terrapuri Heritage Village dan Gaya Travel Magazine yang membawakan lapan media dan pempengaruh media sosial dari Kuala Lumpur untuk menyertai aktiviti memerhati burung dan meredah hutan.
Turut menyertai ialah pelajar, penunjuk arah, pensyarah, peminat dan aktivis alam semulajadi.

Leave a Reply