Memandangkan ancaman COVID-19 semakin berkurangan di Malaysia dan kini sedang menuju ke fasa endemik, apa kata anda raikan berita tersebut dengan bercuti di tempat-tempat damai dan sentosa yang penuh dengan gaya desa seperti berikut?
1. Kunang-Kunang Heritage Village

Mengetengahkan seni bina dan reka bentuk dalaman Melayu tradisional yang mewah dan menenangkan, Kunang-Kunang Heritage Village memiliki hiasan dalaman penuh dengan perabot tradisional dan aksesori rumah yang mengimbau kembali zaman silam Malaysia suatu masa dahulu. Dimiliki oleh pereka fesyen terkenal Datuk Radzuan Radziwill, tetamu bersedia untuk menikmati penginapan yang sangat bergaya dan tidak mudah dilupakan . Jangan lupa untuk berendam dalam kolam yang unik terletak di tengah-tengah tasik sambil menikmati suasana eksklusifnya.
2. Rumah Singgora

Rumah Singgora mempamerkan tiga rumah kayu tradisional Melayu (Rumah Melor, Rumah Kemboja dan Rumah Melati) yang ditukar menjadi homestay ataupun sebagai tempat penggambaran foto. Rumah ini melambangkan gaya seni bina Kelantan yang dipengaruhi oleh kerajaan Langkasuka yang pernah menjajah Kelantan dan Terengganu, termasuk wilayah Pattani di Selatan Thailand. Nama ‘Singgora’ berasal daripada bumbung rumah yang diperbuat daripada jubin tanah liat yang dipanggil Singgora, yang jarang digunakan pada masa kini tetapi berkesan sebagai penebat rumah daripada haba panas disebabkan oleh cahaya matahari. Selain mempamerkan seni bina Kelantan, Rumah Singgora juga menyajikan hidangan istimewa tempatan seperti nasi berlauk, nasi kerabu, pisang rebus, gulai siput sedut, paprika belut, ikan pekasam, ayam kampung dan kerabu pucuk paku.
3. Bagas Zakariah

Terletak di dalam Geopark Lembah Kinta, Bagas Zakariah ialah sebuah enklaf berusia 100 tahun yang mengandungi tiga rumah tradisional yang diubahsuai sebagai kediaman moden di tengah-tengah kehijauan seluas lima ekar dengan aliran sungai semula jadi mengalir di tengah-tengahnya. Pemilik hartanah ini, Encik Zakariah bin Malim Sulaiman dan Puan Masiah binti Samit, berpindah ke kawasan ini dari Chukai pada tahun 1920-an untuk menanam getah dan membina kediaman dalam bentuk gaya Rumah Perak, yang kini dinamakan Rumah Penanam Kuning Tradisional Melayu. Dua lagi rumah berciri tradisional ditambah pada 2019.
4. Limas Tiga Puncak

Terdiri daripada beberapa vila mewah direka dengan sempurna yang menggabungkan seni bina moden dengan gaya kampung dan diselubungi oleh persekitaran semula jadi dan ketenangan, Limas Tiga Puncak sesuai untuk penginapan, percutian berkumpulan, rehat bersama keluarga, pertemuan semula bersama rakan-rakan dan majlis peribadi. Vila-vila ini berjarak 15 minit dari pusat bandar Melaka atau Bandar Hilir menggunakan kenderaan, melalui pemandangan sawah padi yang menakjubkan dan gaya hidup tempatan yang santai sebelum tiba di Umbai, salah satu tempat popular di Melaka untuk menjamu selera makanan laut.
5. Puncak Rimba

Puncak Rimba adalah tempat percutian berkonsepkan layan diri mewah yang terletak jauh di dalam salah satu hutan hujan tropika tertua di dunia. Sebuah estet persendirian yang dikelilingi oleh lembah hijau yang subur, ia menawarkan pengalaman yang mengasyikkan, jauh daripada kesibukan bandar. Vila-vila dalam hartanah ini menyebar seluruh kawasan, dan setiap vila dilengkapi dengan dapur kecil, oleh itu tetamu digalakkan untuk membawa barangan runcit mereka sendiri untuk melakukan aktiviti memasak, asalkan ia halal. Walau bagaimanapun, makanan juga boleh disediakan oleh pihak penginapan atas permintaan tetamu.
6. Warisan Pahlawan Resort

Ditubuhkan sejak 2009, Warisan Pahlawan Resort diasaskan oleh Tuan Ahmad bin Tuan Abdullah, seorang pengumpul barangan antik berusia 58 tahun yang bersemangat merangkap ahli tukang yang cemerlang dengan cinta yang mendalam terhadap semua benda klasik. Resort gaya warisan ini menawarkan 39 bilik yang dibahagi-bahagikan kepada lima buah rumah berasingan. Setiap rumah tersebut bercirikan ukiran kayu tradisional dan perabot seperti ukiran ukir tebuk yang rumit, bumbung singgora dan teknik tanggam dan pasak. Selain itu, rumah-rumah itu diperbuat daripada kayu cengal, yang terkenal dengan ketahanannya terhadap masa dan cuaca.
Artikel ini telah dialih bahasa oleh Hady Armeen. Baca artikel asal dalam Bahasa Inggeris di sini.