Home » Blog » News » Kempen ‘Shop & Be Rewarded 2.0’ Kembali Dengan Penebusan E-Baucar dan Tawaran Pakej Minat Khas di Pameran Miss SHOPhia Go Travel 2022
Tourism Malaysia

Kempen ‘Shop & Be Rewarded 2.0’ Kembali Dengan Penebusan E-Baucar dan Tawaran Pakej Minat Khas di Pameran Miss SHOPhia Go Travel 2022

PETALING JAYA, 19 Ogos 2022 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya  (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia hari ini melancarkan Kempen ‘Shop &  Be Rewarded 2.0’ serta Pameran Miss SHOPhia Go Travel 2022 dalam usaha  menyemarakkan pelancongan domestik. 

Kempen ‘Shop & Be Rewarded 2.0’ adalah sebahagian daripada Pelan Pemulihan  Pelancongan 2022 (PRE 2.0) yang menawarkan penebusan e-baucar untuk rakyat  Malaysia di bawah Kluster Pelancongan Minat Khas menerusi segmen beli-belah dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Kompleks (PPK) Malaysia. Penerusan  penyaluran insentif kepada Keluarga Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat,  merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE 1.0). 

Di bawah kempen ini, pengguna berpeluang menebus e-baucar bernilai RM30 bagi  pembelian minimum RM100 di 35 pusat beli-belah yang mengambil bahagian.  Pengguna hanya perlu mengimbas kod QR di kedai-kedai dalam pusat beli-belah  berkenaan bagi tujuan pendaftaran dan penebusan e-baucar. 

Kempen ‘Shop & Be Rewarded 2.0’ akan dilaksanakan dalam dua siri. Siri pertama  kempen bermula 20 Ogos hingga 4 September 2022 manakala siri kedua dijadualkan  berlangsung mulai 22 Oktober sehingga 6 November 2022.  

Tourism Malaysia
Sesi Lawatan ke Ruang Pameran Miss SHOPhia Go Travel

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, sejumlah  66,666 e-baucar bernilai hampir RM2 juta ditawarkan untuk penebusan terawal  sepanjang tempoh kempen. 

“Menariknya pada kali ini, pengguna boleh membuat penebusan e-baucar sehingga  dua kali iaitu sekali penebusan bagi setiap siri kempen,” katanya. 

Sementara itu, penganjuran julung-julung kali Pameran Miss SHOPhia Go Travel 2022  dengan kerjasama 1-Utama Shopping Centre, Paradigm Mall Johor Bahru dan Visa  Malaysia pula menyaksikan pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai tawaran  pakej pelancongan minat khas daripada 16 pempamer selain pengisian demonstrasi  kraftangan dan masakan, persembahan kebudayaan serta cabutan bertuah. 

Pameran berlangsung selama tiga hari bermula hari ini dan siri kedua akan diadakan  di Paradigm Mall Johor Bahru pada 21-23 Oktober 2022. Untuk maklumat lanjut, sila  layari laman sesawang Tourism Malaysia di sini.

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *