Konsert Rentak Selangor & Manifestasi Keroncong 2022

Persembahan kuda kepang antara yang mencuri tumpuan. Gambar: Hasif Hamsyari / GAYA TRAVEL

News

Konsert Rentak Selangor & Manifestasi Keroncong 2022 Mengangkat Seni dan Warisan Negeri Selangor di Mata Masyarakat

Selama dua jam, tetamu dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan di negeri Selangor.

Selama dua jam, tetamu dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan di negeri Selangor.

KUALA LUMPUR, 29 Januari 2023 – Kerajaan Negeri Selangor menganjurkan Konsert Rentak Selangor & Manifestasi Keroncong 2022 yang diadakan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur hari ini sebagai salah satu usaha mengangkat seni dan warisan negeri Selangor di mata masyarakat umum.

Konsert Rentak Selangor & Manifestasi Keroncong 2022
YB Tuan Borhan Bin Aman Shah, Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor sewaktu menyampaikan ucapan perasmian. Gambar: Hasif Hamsyari / GAYA TRAVEL

Dalam ucapan perasmiannya, YB Tuan Borhan Bin Aman Shah, Exco Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan Negeri Selangor berkata, program Rentak Selangor merupakan salah satu strategi Kerajaan Negeri Selangor untuk menjenamakan aktiviti kebudayaan negeri terutama kebudayaan seni muzik dan tarian di samping turut menyelitkan elemen kebudayaan lain seperti adat tradisi dan budaya kepelbagaian etnik dan latar belakang majmuk rakyat di negeri itu.

Konsert Rentak Selangor & Manifestasi Keroncong 2022
Tarian Merak yang dipersembahkan oleh Kumpulan Ambika Bharatha Kala Alayam, Daerah Kuala Selangor. Gambar: Hasif Hamsyari / GAYA TRAVEL

“Semenjak Rentak Selangor diperkenalkan, program ini telah berjaya mencungkil bakat serta membongkar keunikan dan kepelbagaian seni yang masih diamalkan di negeri Selangor, namun ia nya tidak mendapat liputan atau pun telah pun dilupakan buat satu jangka masa yang lama,” ujar beliau.

ADVERTISEMENTS

Beliau turut menyebut antara aktiviti dan amalan seni kebudayaan yang berjaya dibongkar melalui penganjurannya seperti Barongan dan Kuda Kepang di Sabak Bernam, Kumpulan Gendang ‘Chinna Rasa Urumee Melam Masana Kali di Batu Caves, Kumpulan Bale-Bale di Kuala Selangor, Kumpulan Sri Kenchana dan Kumpulan Sedaya di Kuala Selangor dan banyak lagi, tidak termasuk keunikan kesenian muzik, tari, serta penceritaan.

Konsert Rentak Selangor pertama kali diadakan pada tahun 2016 sebagai platform untuk para penggiat seni warisan di Selangor menyerlahkan bakat mereka selain menarik minat masyarakat umum terhadap seni warisan yang ada di negeri tersebut.

Konsert Rentak Selangor & Manifestasi Keroncong 2022
Manifestasi Keroncong turut memperlihatkan penglibatan sekumpulan 40 orang pemain ukulele & Kumpulan Keroncong Tunas. Gambar: Hasif Hamsyari / GAYA TRAVEL

Manifestasi Keroncong pula diadakan buat julung kalinya pada tahun ini dan bakal mencipta sejarah yang tersendiri. Melalui penganjurannya, pihak penganjur berharap dapat mempopularkan semula muzik keroncong yang semakin luput ditelan zaman khususnya dalam kalangan generasi muda. 

Konsert Rentak Selangor & Manifestasi Keroncong 2022
Persembahan Kumpulan Bahbola JKOA (tarian Suku Temuan) Daerah Gombak. Gambar: Hasif Hamsyari / GAYA TRAVEL

Konsert Rentak Selangor & Manifestasi Keroncong 2022 yang berlangsung selama dua jam itu menampilkan pelbagai persembahan menarik, antaranya persembahan sekumpulan 40 orang Pemain Ukulele & Kumpulan Keroncong Tunas, Cempuling Tunas Sinar, Tarian Merak Kuala Selangor, Tarian Singa Petaling Jaya, Tarian Bahbola Gombak, Gamelan KISAS, dan persembahan oleh juara Kilauan Emas Musim ke-5, Wak Mustar. Lebih menarik, persembahan-persembahan ini memperlihatkan penglibatan warga Selangor sendiri dalam memartabatkan seni dan warisan negeri mereka.

Konsert Rentak Selangor & Manifestasi Keroncong 2022
Tarian Singa daripada Persatuan Tarian Naga & Singa Khuan Loke. Gambar: Hasif Hamsyari / GAYA TRAVEL

Konsert berkenaan turut disiarkan secara langsung melalui Facebook Rentak Selangor.

ADVERTISEMENTS

Acara yang diadakan setiap tahun ini diharapkan dapat menarik minat lebih ramai individu dan masyarakat umum terhadap seni dan warisan negeri Selangor yang cukup bernilai. 

Share with us what you think about this article!

ADVERTISEMENTS