PORT DICKSON, 26 Februari 2023 – Meneruskan penganjuran untuk tahun ketiga, komuniti Vidalido Camping Malaysia dengan penganjur bersama ANBOT Outdoors Sdn Bhd (ANBOT Store) tahun ini berjaya menarik lebih 300 peserta, majoritinya terdiri daripada keluarga termasuk 118 kanak-kanak.
Program camp-meet yang berlangsung dari 24 hingga 26 Februari 2023 itu menghimpunkan sebahagian daripada 23,700 ahli di Facebook Vidalido Camping Malaysia yang berkongsi minat yang sama. Hampir 100 buah khemah didirikan dengan pelbagai gaya dan keunikan yang membuatkan tapak perkhemahan menghadap pantai di Mayang Sari Camp Site itu meriah.
Majlis pelancarannya pada hari pertama telah disempurnakan oleh Ahmad Husni Ahmad Basri, Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Tourism Malaysia. Beliau turut meluangkan masa melawat khemah-khemah sekali gus beramah mesra dengan peserta-peserta yang mengambil bahagian.

Menurut Muhammad Rizal Abu Bakar, Ketua Komuniti Vidalido Camping Malaysia, aktiviti perkhemahan seperti ini bukan sahaja menjadi platform untuk peminat aktiviti itu berkumpul tetapi turut menjadi satu acara untuk keluarga menghabiskan masa berkualiti bersama-sama selain mendekatkan diri dengan alam semulajadi.

“Aktiviti perkhemahan ialah satu aktiviti yang menyihatkan serta menjadi ruang untuk berjumpa kawan baharu, meluaskan jaringan dan berkongsi pengetahuan,” tambah beliau.
Pandangan beliau turut disokong Hanis Bakeri, Ketua Pegawai Eksekutif ANBOT Store yang mengakui bahawa aktiviti camp-meet seperti ini menggalakkan pemindahan dan perkongsian pengetahuan khususnya kepada peminat perkhemahan yang baru menjinakkan diri dalam aktiviti perkhemahan.
“Ada antara mereka tidak tahu beberapa perkara misalnya cara menghidupkan api, cara menjaga, memasang dan menyimpan barangan, serta macam-macam lagi. Itulah antara pengisian camp-meet kali ini,” ujar beliau.
Antara pengisian program itu termasuk sesi perkongsian menghidupkan kayu api, tarik tali, persembahan api, tayangan filem, senamrobik dan aneka pertandingan melibatkan kreativiti peserta serta turut terbuka untuk kanak-kanak.
Gaya Travel Magazine turut mengambil bahagian sebagai salah satu penaja bagi program ini.
Filed in: ANBOT Store / Vidalido