Home » Blog » Destinations » ‘Train To Dabong’ Bersempena Hari Muzium Antarabangsa 2022
Hari Muzium Kebangsaan

‘Train To Dabong’ Bersempena Hari Muzium Antarabangsa 2022

Sebuah program sehari iaitu ‘Train To Dabong’ telah dijalankan bersempena dengan sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2022. Program tersebut dijalankan berikutan sambutan yang dijalankan di negeri Kelantan pada tahun ini.

Program ini telah disertai oleh komuniti muzium di Malaysia dan jumlah penyertaan adalah seramai 334 peserta. Objektif utama program ini diadakan adalah bagi mengeratkan hubungan masyarakat dan komuniti muzium selain turut memberi pendedahan kepada komuniti muzium untuk mengenali budaya dan cara hidup sesuatu tempat.

Hari Muzium Kebangsaan
Perjalanan menuju ke Stesen Dabong dari Stesen Keretapi Wakaf Bharu

Peserta-peserta memulakan perjalanan mereka pada seawal jam 7:20 pagi di Stesen Keretapi Wakaf Bharu. Beberapa penerangan juga diberikan oleh pemandu pelancongan di dalam perjalanan menuju ke Dabong.

Setibanya mereka di Dabong pada sekitar jam 10:30 pagi, hentian pertama yang akan dituju adalah ke Kompleks Gua Ikan. Peserta-peserta bergerak ke Kompleks Gua Ikan dengan menaiki bas yang telah disediakan.

Hari Muzium Kebangsaan
Melihat fenomena alam di dalam Gua Ikan

Kompleks Gua Ikan merupakan sebuah kompleks yang terdiri daripada beberapa buah gua batu kapur yang lain. Antara gua yang dibuka kepada orang awam adalah Gua Ikan, Gua Pagar, Gua Gelap, dan Gua Keris. Pengunjung boleh menikmati keindahan dan mempelajari tentang ekosistem gua batu kapur yang sudah berusia lebih 150 juta tahun ini.

Salah satu tarikan utama di dalam Gua Ikan ini adalah fenomena God’s Light di dalam Gua Ikan. Fenomena ini adalah pancaran sinar matahari yang menuju ke ruangan lantai gua melalui sebuah lubang di bumbung gua ini.

Seterusnya, peserta-peserta menuju ke Tapak Perasmian Dewan Sukan Terbuka Dabong bagi Majlis Perasmian oleh Yang Berbahagia Datuk Kamarul Baharin Bin A. Kasim, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia. Beberapa aktiviti khusus yang lain turut diadakan bersempena program ini seperti pertunjukan silat, lawatan ke gerai pameran, aktiviti kenduri kampung, serta makan tengahari.

Seterusnya pada jam 12:45 tengahari, peserta telah melawati kaki puncak Gunung Stong. Gunung Stong terletak di sebuah hutan simpan berkeluasan 21,950 hektar. Gunung ini mempunyai sekitar 7 puncak untuk didaki, beberapa air terjun yang indah, gua, dan mempunyai pelbagai spesis haiwan dan tumbuhan yang jarang ditemui.

Pada jam 2:30 petang pula, peserta-peserta melakukan program kemasyarakatan khusus bersempena program Train To Dabong ini bersama penduduk kampung seperti pemeriksaan kesihatan percuma, sukaneka bersama komuniti Dabong, dan aktiviti lumba perahu di Sungai Galas.

Setelah tamat kesemua aktiviti pada sekitar jam 4:30 petang, peserta bergerak dan berkumpul di Stesen Dabong untuk perjalanan pulang ke Stesen Wakaf Bharu. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam untuk sampai ke Stesen Wakaf Bharu, dan mereka tiba pada jam 7 malam.

Jika ingin mengetahui lebih lanjut berkenaan lokasi lawatan sepanjang program Train To Dabong ini, anda juga boleh membaca artikel-artikel ini:

16 Things to Experience in Kelantan

Trippin’ The Skies and Waterfalls at Baha Camp, Mount Stong

About The Author

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *