PERHENTIAN KECIL, 10 Januari 2022 : Ketibaan musim tengkujuh biasanya menandakan penutupan pulau-pulau peranginan dan pantai-pantai bagi negeri di pantai timur kerana cuaca ribut dan ombak yang besar. Walau bagaimanapun, musim tengkujuh tahun ini membawa perubahan yang menarik di sepanjang pantai Long Beach di Perhentian Kecil, Pulau Perhentian dengan kewujudan program Surf Perhentian 2021 yang julung kali dianjurkan baru-baru ini.
Melalui Surf Perhentian, sebuah kem luncur ombak dan festival yang berlangsung pada 26 hingga 28 November 2021 lalu, seramai 100 peserta melibatkan peluncur profesional, sukarelawan dan kru penganjur telah memeriahkan Pantai Long Beach.
Dianjurkan oleh Persatuan Pengusaha Pelancongan Pulau Perhentian (5P) dan dihoskan oleh Harrera Perhentian, program itu dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara, termasuk vaksinasi Covid-19 yang lengkap diwajibkan terhadap para peserta.
Program ini juga mendapat sokongan dari Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu dan Persatuan Peluncur Ombak Malaysia (PLOM).
Acara luncur ombak yang pertama dianjurkan di Pulau Perhentian ini bertujuan untuk mempromosikan pulau itu sebagai lokasi luncur ombak baharu di Malaysia dan menarik minat komuniti peluncur serta pengunjung lain untuk datang ke pulau itu sepanjang musim rendah pengunjung (Oktober hingga Mac).
Dengan ketibaan hanya segelintir atau tiada pelancong sepanjang musim tengkujuh, kebanyakan pengusaha pelancongan di pulau itu terpaksa menghentikan operasi sepanjang musim. Melalui acara seperti Surf Perhentian, diharapkan pengusaha pelancongan di Pulau Perhentian dapat menjana pendapatan ekonomi pada musim tengkujuh.
Bagi menyokong pemulihan ekonomi Pulau Perhentian yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Terengganu, YB Ariffin bin Deraman berkata, “Surf Perhentian akan menjadi pemangkin kepada banyak perubahan untuk aktiviti pelancongan di Pulau Perhentian. Saya ucapkan tahniah kepada Persatuan 5P dan Harrera Perhentian atas kerjasama ini, dan berharap untuk melihat lebih banyak program mempromosikan pulau yang indah ini dianjurkan pada masa akan datang,”.
Program tiga hari itu turut merayakan keindahan Pulau Perhentian dan dipenuhi dengan aktiviti menarik. Waktu siang dipenuhi dengan aktiviti seperti kem meluncur ombak, bola tampar pantai dan bola sepak pantai, manakala pada waktu malam, tetamu dihiburkan dengan pertunjukan api yang istimewa dipersembahkan oleh anak-anak muda penduduk asal pulau itu.
Menurut Rafizah Munir, Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Pulau Perhentian, “Pihak persatuan amat mengalu-alukan inisiatif yang akan membantu mewujudkan impak ekonomi yang positif kepada Pulau Perhentian, yang pada masa yang sama mempromosikan seni dan budaya tempatan yang merupakan sebahagian daripada warisan Terengganu”.
Program Surf Perhentian ini dijangka akan kembali lagi pada 4 hingga 6 Mac 2022. Dengan harapan bahawa sempadan antarabangsa akan dibuka semula pada Januari 2022, penganjur berharap dapat menarik lebih ramai peluncur domestik dan antarabangsa ke program yang akan datang.
Filed in: Malaysia / Perhentian Kecil / Pulau Perhentian / Surf Perhentian