MalaysiaPerak

Perjalanan ke Teluk Intan & Bagan Datuk bersama Tourism Perak

Teluk Intan merupakan bandar yang terkenal dengan Menara Condong, tetapi adakah anda tahu bahawa terdapat banyak lagi tarikan di sini

Sunflower Garden in Bagan Datuk

Teluk Intan merupakan bandar yang terkenal dengan Menara Condong, tetapi adakah anda tahu bahawa terdapat banyak lagi tarikan di sini

Tourism Perak dengan majalah Gaya Travel,telah menganjurkan perjalanan ke Teluk Intan dan Bagan Datuk di negeri Perak, Malaysia. Teluk Intan merupakan bandar yang terkenal dengan Menara Condong, tetapi adakah anda tahu bahawa terdapat banyak lagi tarikan di sini? Lebih menarik lagi, bahagian hilir Sungai Perak yang berkepanjangan 400 kilometer mengalir menelusuri Teluk Intan dan akhirnya bertemu dengan laut di Bagan Datuk.

Baca lebih lanjut untuk anda mengetahui apa yang anda boleh lakukan di Teluk Intan dan Bagan Datuk selama empat hari dan tiga malam …

Menyelusuri Sungai Teluk Intan

Perak
Sungai Teluk Intan

Kita mulakan aktiviti pertama kami dengan menggunakan perkhidmatan bot oleh Sahril Pekan Enterprise menyelusuri Sungai Teluk Intan. Anda disarankan mengambil peluang berlayar dan melihat tinggalan sejarah di sepanjang sungai ini, termasuk menyaksikan bangau-bangau yang sedang terbang pulang ke Pulau Bangau, diikuti juga dengan melihat kelip-kelip di tebing sungai apabila hari semakin gelap.

ADVERTISEMENTS

Pelayaran tersebut membawa para penumpang ke pelbagai tempat di sepanjang tebing sungai. Sepanjang perjalanan, kami terserempak dengan sebuah barisan kolam ikan ketika menuju keluar menghampiri Pulau Bangau. Para pengembara yang berminat untuk melihat pemandangan matahari terbenam (jika cuaca mengizinkan) dan beribu-ribu burung terbang menuju ke Pulau Bangau dinasihatkan untuk berada di sana selepas 6:30 petang. Lawatan tersebut tamat selepas para penumpang menyaksikan kelip-kelip.

Ketika pelayaran tersebut, pemandu bot akan menerangkan secara ringkas bagaimana nama Teluk Intan terhasil. Teluk Intan pada suatu ketika pernah dikenali sebagai ‘Teluk Mak Intan’ bersempena seorang janda yang cantik dan kaya dari Mandailing di Sumatera. Pedagang tempatan di kawasan tersebut tergila-gilakan beliau, sehinggakan penjajah British juga turut menaruh minat terhadap beliau, tetapi Mak Intan tetap menjual mahal kerana beliau sudahpun kaya, malah mampu berdikari.

Selepas penjajah British datang ke kawasan ini, namanya telah ditukar kepada ‘Teluk Anson’ sebagai penghormatan kepada Sir Archibald Edward Harbord Anson, Gabenor Selat dan juga pegawai daerah pertama di Teluk Intan. Sir Edward Anson membangunkan kemudahan infrastruktur keretapi menghubungkan Jalan Tapah dan Teluk Intan supaya sumber alam seperti bijih timah dan bahan-bahan mentah dapat dibawa keluar.

Teluk Anson kemudiannya mempunyai sebuah pelabuhan besar dan kedudukannya setaraf dengan Port Dickson dan Port Klang. Walau bagaimanapun, dengan kemunculan sistem jalan raya yang lebih moden, laluan keretapi dan pelabuhan Teluk Anson menjadi tidak terjaga, malahan ditutup serta-merta, mengakhiri kegemilangan Teluk Anson. Nama kawasan tersebut kemudiannya ditukar kepada Teluk Intan dengan perkenan Sultan Perak.

Dari bot itu, para penumpang boleh menyaksikan kawasan bersejarah sepanjang sungai; lokasi pertama adalah tiga tiang cerucuk terletak di tebing sungai yang merupakan puing-puing pelabuhan lama yang dipanggil Anson Port. Satu keunikan tentang Sungai Perak adalah bahagian tebing sungai itu adalah lebih dalam berbanding bahagian tengah, oleh itu ia berupaya menampung kapal dagang yang datang dari Eropah. Kedalaman air di sini boleh mencecah sehingga 100 kaki, bersamaan dengan bangunan tiga tingkat.

ADVERTISEMENTS

Ketika pelayaran itu, penumpang juga mungkin akan perasan terdapat banyak bot di sepanjang sungai yang dikendali oleh mereka yang memancing udang galah, ikan dan sebagainya. Sebenarnya, aktiviti utama di di sepanjang Sungai Perak adalah memancing udang galah kerana udang galah di Sungai Perak tidak bermusim dan sentiasa ada. Ini disebabkan oleh usaha pihak Jabatan Perikanan Perak yang melepaskan sebanyak 50,000 ke 100,000 udang galah setiap tahun untuk pembiakan, memastikan ekosistem Sungai Perak dan kehidupan nelayan terjamin.

Seterusnya dalam pelayaran itu, para penumpang boleh menemui kilang kapal layar yang mengaplikasikan cara pembuatan kapal secara tradisional menggunakan papan lapis. Proses pembuatan sebuah kapal mengambil masa selama enam ke tujuh bulan dan kosnya mencecah RM800,000. Pelayaran itu juga membawa para penumpang mendekati sebuah restoran terapung, kolam ikan tilapia, feri lama dari Pulau Rawa, kapal perlombongan pasir, dan kapal yang telah tenggelam sebelum sampai ke Pulau Bangau.

Pulau Bangau

Bangau-bangau terbang keluar dari Pulau Bangau seawal 6:30 pagi bagi mencari makanan di sekitar Sungai Perak dan mereka pulang semula ke pulau mulai 6:30 petang. Bangau-bangau ini bertelur di Pulau Bangau, oleh itu mereka tidak boleh terbang terlalu jauh untuk mencari makan. Terdapat jenis burung bangau yang berbeza-beza di Pulau Bangau dan sekitar 40,000 ke 50,000 ekor bangau menghuni pulau tersebut. Semasa musim membiak, amat mudah untuk para penumpang menyaksikan bangau-bangau bertenggek di pokok-pokok sekitar kawasan.

Ketika hari semakin gelap, kelip-kelip mula muncul, terutamanya antara 8:00 malam dan 10:00 malam, semasa kelip-kelip sedang aktif. Terdapat dua jenis kelip-kelip di sini: Pteroptyx Tener; dan Pteroptyx Alba. Jenis yang pertama berkelip secara serentak, manakala jenis yang kedua pula berkelip secara rawak.

Jika anda ingin merasai pengalam pelayaran ini, anda perlu membuat tempahan dengan Teluk Intan River Cruise, yang menawarkan empat jenis pakej berbeza bermula dari RM15 ke RM60 setiap seorang, bergantung kepada aktiviti yang dijalankan dan tempat-tempat berhenti. Hari operasi adalah hujung minggu, Cuti Am dan Cuti Sekolah. Waktu operasi adalah dari 8:30 pagi hingga 8:30 malam.

Menjejaki Warisan Teluk Intan

Pengembara kebiasaannya datang ke Teluk Intan untuk mengunjungi Menara Condong yang sudahpun terkenal, mengambil Gambari di situ beberapa gambar dan terus berlalu pergi. Walau bagaimanapun, terdapat banyak lagi binaan warisan dan tempat-tempat menarik yang boleh dirungkai oleh para pengembara bagi menghargai sejarah dan budaya Teluk Intan. Perjalanan menjejaki warisan secara kendiri diketuai oleh Persatuan Pencinta Sejarah Masyarakat Perak, dengan usahasama Persatuan Pelukis Teluk Intan, membawa anda ke 20 buah mercu tanda merangkumi tapak sejarah, tapak peringatan perang, surau, tokong-tokong, gereja-gereja dan pelbagai lagi tarikan di Teluk Intan, menandakan bahawa terdapat banyak lagi untuk anda terokai di Teluk Intan!

Pengembaraan melihat tinggalan warisan bermula dengan perjalanan ke Tapak Peringatan Gajah Sungai Kerawai yang merupakan landasan keretapi antara Jalan Tapah dan stesen Teluk Intan. Setahun selepas perkhidmatan keretapi tersebut beroperasi, sebuah keretapi melanggar sekumpulan kawanan gajah dan kesemuanya terbunuh di lokasi kejadian. Ketua bagi kawanan gajah tersebut kemudiannya mengamuk dan melanggar keretapi yang sama pada keesokan harinya, menyebabkan keretapi tersebut tergelincir daripada landasannya.

Hasil daripada pelanggaran tersebut, tengkorak dan gading gajah-gajah yang telah mati kini dipamerkan di Muzium Taiping, sementara itu tulang pinggul gajah yang berkepanjangan satu meter dipamerkan di muzium mini KTMB Johor Bahru. Pihak British telah mendirikan sebuah papan tanda peringatan di tempat kejadian pelanggaran tersebut. Para pengunjung boleh melihat sisa-sisa landasan keretapi itu disusuli dengan ulasan ringkas berkenaan insiden pelanggaran tersebut.

Madrasah Al-Ihsaniah

Tapak warisan seterusnya adalah Madrasah Al-Ihsaniah, madrasah moden pertama (sekolah agama Islam) di Perak yang dibina pada tahun 1901. Struktur asal Madrasah Al-Ihsaniah diperbuat daripada kayu terbiar. Ia kemudian dibina semula menggunakan bahan-bahan yang lebih baik, menghasilkan struktur binaan yang bertahan sehingga sekarang. 

Tokong Hock Soon

Berseberangan jalan di hadapan madrasah ini adalah Tokong Hock Soon, dibina seawal tahun 1883. Ciri-ciri penting pada tokong ini adalah hasil seni bina berunsurkan Cina Selatan yang mempunyai gerbang-gerbang dan lajur-lajur bagi mengukuhkan binaan ini. Ruangan utama di sini dibina bagi upacara memuja dewa, sementara ruangan terbuka di bahagian kanan hadapan pula mempunyai patung Buddha setinggi lapan meter dan merupakan yang tertinggi di Malaysia.

Batu Tenggek Teluk Intan

Batu Tenggek Teluk Intan terletak di Jalan Changkat Jong berdekatan dengan Jalan Maharaja Lela. Tugu tersebut terdiri daripada sebiji batu granit yang diletakkan atas sebuah batu, kemudian diletakkan atas sebuah konkrit pula. Pada masa dahulu, dikatakan bahawa batu granit tersebut hanya bersaiz sebuah kotak mancis lalu membesar dibawa arus masa. Tapak Peringatan Perang ini memperingati mereka yang terkorban semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Balai Polis Lama Teluk Intan

Hentian seterusnya adalah Balai Polis Lama, bangunan terawal yang didirikan oleh pihak British. Selepas bangunan ini siap dibina, ia digunakan sebagai pejabat cukai dan kastam bagi Pelabuhan Teluk Intan. Bagunan ini kemudiannya ditukarkan menjadi balai polis sehinggalah lama-kelamaan ia terbiar. Buat masa kini, para pengunjung hanya boleh melihat dari jauh kerana bangunan ini terkunci. Bersebelahan dengan Balai Polis Lama adalah Pejabat Pos; pada mulanya, perkhidmatan yang disediakan adalah penghantaran surat-surat, pendaftaran pengundi dan juga sebagai tempat pembelian tiket loteri. Bersebelahan pejabat pos ini adalah Bangunan HSBC, dibina pada tahun 1948 dan kekal tanpa sebarang perubahan sehingga kini.

Para pengunjung boleh juga mengunjungi beberapa gereja dan tokong lama di kawasan lama Teluk Intan seperti The Church of St Luke the Evangelist, Tamil Methodist Church, Church of St Anthony of Padua dan Sri Thendayuthapani Temple. Sepanjang perjalanan, para pengunjung boleh mempelajari sejarah dan kisah-kisah unik berkenaan mercu-mercu tanda di sini dan mengagumi seni bina mereka. Para pengunjung juga digalakkan mengambil swafoto di semua dinding, laluan dan sudut bangunan-bangunan ini sebagai kenangan.

Perak
Menara Teluk Intan

Disebabkan masa kami yang terhad, kami mengakhiri perjalanan di Tapak Warisan ini dengan melawat Menara Condong Teluk Intan dihiasi jam di puncaknya yang berbunyi setiap 15 minit. Menara ini pada asalnya digunakan sebagai menara air bagi membekalkan air ke kawasan pekan. Menara Condong Teluk Intan mulai condong selepas empat tahun pembinaannya disebabkan aliran di bawah tanah. Sebuah banjir besar berlaku mengakibatkan tangka air menjadi berat, mencondongkan Menara tersebut ke satu arah. Menara tersebut tidak lagi menyimpan bekalan air dan kini merupakan tarikan pelancongan.

Dermaga Bagan Datuk 

Bagan Datuk merupakan sebuah pekan kecil yang menarik, terletak lebih kurang sejam perjalanan dari Teluk Intan. Pekan ini menawarkan sebuah kawasan dipanggil Dermaga Bagan Datuk, iaitu tempat para pengunjung berhenti untuk berehat dan mengambil gambar papan tanda dan deretan rumah kedai yang berwarna-warni, termasuk lukisan-lukisan mural yang menghiasi dinding-dinding berdekatan dermaga ini. Pastikan juga anda tidak terlepas pemandangan matahari terbenam dan suasana malam di pekan ini!

Sky Mirror di Kampung Sungai Burung

Sky Mirror Activity in Sungai Burung Village
Sky Mirror di Kampung Sungai Burung

Kampung Sungai Burung adalah sebuah penempatan kecil nelayan dengan populasi penduduk seramai 400 orang dan merupakan destinasi menarik untuk para pengunjung meraih pengalaman menyeronokkan dengan menangkap gambar menarik di Sky Mirror yang dikendalikan oleh Nine Island Agency Sdn. Bhd. serta bermain-main di tengah-tengah taman bunga matahari.

Untuk sampai ke Sky Mirror, para pengunjung perlu menaiki bot lebih kurang 15 minit ke sebuah kawasan air berkedalaman paras lutut dan kemudian perlu berjalan ke kawasan air yang lebih cetek. Apabila di kawasan tersebut, pemandu pelancong akan membuat sebuah lopak air untuk para pengunjung menangkap gambar seperti pantulan cermin yang jelas!

Taman Bunga Matahari di Bagan Datuk

Sunflower Garden in Bagan Datuk
Ladang Bunga Matahari Bagan Datuk

Satu lagi tarikan utama Bagan Datuk adalah Ladang Bunga Matahari, tempat para pengunjung boleh berdiri dikelilingi bunga-bunga matahari yang tinggi. Pemandangan taman seluas 0.8 hektar ini dipenuhi oleh 2,000 pokok bunga matahari gergasi, menjadikan ia lokasi ideal untuk para pengantin mengambil gambar perkahwinan, selain swafoto untuk dimuat naik ke Instagram.

Taman Bunga Matahari dibuka setiap hari dari 9:00 pagi hingga 7:00 malam dengan bayaran masuk berharga antara RM5 ke RM13 mengikut umur.

Ladang Moccis

Homestay Ladang Moccis di Teluk Intan
Homestay Ladang Moccis di Teluk Intan

Ladang Moccis menyediakan tempat terbaik untuk berehat dan melarikan diri daripada kesibukan bandar. Pengunjung-pengunjung boleh menyewa kelengkapan barbeku, kayak, basikal, ATV dan peralatan memancing semasa menginap di sini. Terdapat juga Zoo Mini yang mempamerkan haiwan seperti rusa, kucing Benggala, arnab, dan pelbagai lagi binatang-binatang lain.

Ladang Moccis turut menyediakan 10 buah unit inap desa. Sebuah unit inap desa di sini mempunyai 3 bilik tidur, bilik mandi persendirian, dan penghawa dingin. Harga sewaan inap desa bermula daripada RM200 hingga RM300 bergantung kepada saiz unit.

Secara ringkasnya, melancong di Teluk Intan dan Bagan Datuk adalah berbaloi! Walaupun kedua-dua lokasi ini tidak terkenal seperti bandar-bandar lain di Malaysia, mereka masih mempunyai pelbagai kelebihan, malahan layak menerima lebih perhatian dalam kalangan pengunjung tempatan dan luar. Pastikan anda datang melawat Teluk Intan dan Bagan Datuk apabila ke Perak nanti!

Artikel ini diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Aliff Ashraf.

Filed in: / / /

Share with us what you think about this article!

ADVERTISEMENTS

 
 

This will close in 0 seconds