Meskipun Perlis merupakan negeri terkecil di Malaysia, negeri ini kaya dengan pelbagai jenis geologi dan tarikan. Terletak di sempadan Malaysia-Thailand, Perlis mempunyai beberapa kekuatan yang tidak ditemui di tempat lain. Daripada tarikan pelancongan bandar hinggalah ke keajaiban alam semulajadi, Perlis menawarkan pengalaman mengujakan kepada para pengunjung. Teruskan membaca untuk merungkai tarikan-tarikan yang ada di negeri di utara Semenanjung Malaysia ini!
Apa yang boleh dilihat dan dilakukan di Perlis?
Kangar Street Art 2.0
Anda kerugian jika tidak singgah ke Kangar Street Art 2.0 semasa berada di ibu negeri Perlis. Tempat yang dahulunya hanya sebuah lorong kini telah menjadi berwarna-warni dan terang-benderang atas inisiatif kerajaan negeri Perlis bersama-sama Persatuan Penggiat Seni Perlis untuk mempromosi dan mencantikkan Kangar.
Dengan mural-mural berperanan sebagai tarikan pelancongan, Kangar Street Art 2.0 memaparkan 25 jenis mural dua dimensi (2D) dan tiga dimensi (3D) berkonsepkan warisan dan nostalgia yang dilukis pada dinding dan atas jalan lorong itu sendiri.
Antara mural-mural yang dipamerkan adalah figura-figura ikonik Perlis seperti Awang Batil Penglipur Lara, Pak Samad Putu Mayang, Yus Raja Lawak dan landskap pekan Kangar pada tahun 1980-an dan 1990-an.
Pusat Tinjauan Wang Kelian
Pusat Tinjauan Wang Kelian terletak di bahagian barat laut sempadan Thailand-Malaysia pada ketinggian 304 meter dari aras laut.
Seawal jam 6:30 pagi, para pengunjung boleh melihat pemandangan matahari terbit yang indah dan fenomena awan karpet sambil menikmati udara segar dengan mendaki bukit kecil menghala ke puncak dari papan tanda Pusat Tinjauan Wang Kelian berdekatan dengan tempat letak kenderaan.
Anda juga boleh menaiki kenderaan sendiri untuk terus sampai ke puncak. Bayangkan berjalan kaki ke puncak dan disambut oleh kabus sebelum akhirnya menyaksikan lautan awan yang terbentang luas! Anda juga boleh bersarapan di puncak kerana terdapat gerai yang menyediakan pelbagai makanan dan minuman.
Penjelajahan Gua Wang Burma
Gua Wang Burma adalah antara 30 gua yang wujud di Taman Negeri Perlis, iaitu taman negeri pertama di Malaysia.
Dimulakan dengan trek melalui hutan sepanjang 700 meter untuk sampai ke pintu masuk gua bersama-sama dengan pemandu pelancong, para pengunjung kemudiannya akan melalui dua laluan; laluan kering (Gua Jantan) yang kemudiannya disusuli tanah lembut; diikuti dengan laluan yang menenggelamkan kaki (Gua Basah) kerana para pengunjung perlu berjalan dan merangkak sepanjang laluan yang sempit dan basah serta mengharungi air mengelilingi pergelangan kaki!
Sepanjang penjelajahan gua ini, para pengunjung akan menemui banyak batu stalaktit dan stalagmit yang terbentuk secara semulajadi, selain kelawar, labah-labah, cengkerik gua dan juga landak. Harga bayaran bagi perkhidmatan pemandu pelancong oleh Taman Negeri Perlis adalah RM80 untuk 10 orang.
Taman Negeri Perlis juga menyediakan asrama, chalet dan tapak perkhemahan untuk penginapan para pengunjung.
Taman Rekreasi Tasik Melati
Taman Rekreasi Tasik Melati adalah lokasi indah yang sesuai untuk pengunjung daripada semua peringkat umur. Taman yang menakjubkan serta tenteram ini merupakan tempat para pengunjung beristirahat.
Tambahan pula, unsur seni bina Cina seperti gazebo dan jambatan terapung menambahkan lagi keindahan kawasan ini. Para pengunjung boleh memilih untuk berjoging, bersenam atau sekadar berkelah bersama keluarga dan rakan-rakan.
Selain itu, taman ini tidak dikenakan sebarang bayaran masuk dan tempat letak kereta juga adalah percuma!
Taman Ular & Reptilia Perlis
Diketahui sebagai taman ular terbesar di Malaysia, Taman Ular & Reptilia Perlis di Kangar mengandungi 150 ular berbisa dan tidak berbisa dari Malaysia dan luar negara.
Taman ini bukan hanya memaparkan pelbagai jenis ular, tetapi turut berfungsi sebagai pusat pembelajaran.
Selain menyaksikan ular-ular yang telah dijinakkan dengan lebih dekat, para pengunjung juga boleh melihat haiwan-haiwan lain seperti buaya, rusa, dan burung unta.
Terdapat juga tempat perlindungan kucing-kucing liar yang diselamatkan dan ditempatkan di dalam rumah baru mereka yang digelar Bustana Kucing sebagai agar mereka kembali sihat. Para pengunjung boleh bermain dengan kucing-kucing ini, malahan boleh mengambil mereka sebagai haiwan peliharaan.
Jangan lepaskan peluang mengambil gambar dengan bunga-bunga matahari yang ditanam di taman ini! Bayaran masuk ke taman ini adalah RM6 untuk pengunjung berumur 13 tahun ke atas, RM3 untuk pengunjung berumur antara 5 dan 12 tahun, dan percuma bagi kanak-kanak berumur 4 tahun ke bawah.
Kampung Seberang Ramai
Salah satu tarikan pelancong terbaharu di Perlis adalah perkampungan nelayan dipanggil Seberang Ramai di Kuala Perlis yang telah diberi nafas baharu sebagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dalam mengamalkan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) di kalangan komuniti tempatan.
Selain hasil seni mural dan hiasan yang menyerikan setiap sudut kampung itu, para pengunjung juga boleh mengagumi beberapa rumah tradisional Perlis dan Jambatan Tuanku Syed Putra yang ikonik dan berwarna, termasuk menjamu selera di warung makanan tradisional.
Kami berasa senang dengan persekitaran kampung itu yang bersih dan kemas.
Masjid Al Hussain (Masjid Terapung)
Dikenali sebagai salah satu masjid tercantik di Malaysia, Masjid Al Hussain pastinya menarik perhatian para pengunjung Muslim dan bukan-Muslim.
Struktur masjid itu terjangkau mengarah ke Selat Melaka, justeru memberikan gambaran seperti terapung, dengan jambatan sepanjang 50 meter yang menyambungkan rung solat utama dari pintu masuk.
Dinding masjid ini tidak dicat tetapi dihias menggunakan batu marmar, batu kerikil, batu kuarza dan batu granit. Masjid ini mempunyai menara azan berkembar berbentuk heksagon.
Masjid Al Hussain juga menawarkan tempat terbaik untuk melihat matahari terbenam, jadi jangan lupa untuk menangkap gambar yang cantik apabila anda berada di masjid ini!
Ladang Harum Manis Kubang Gajah
Adakah anda ketahui bahawa mangga Harum Manis, dikenali dengan kekayaan rasa dan kemanisannya, mempunya sedikit perbezaan dari segi tekstur dan rasa dibandingkan dengan mangga biasa?
Mangga Harum Manis mempunyai aroma dan bau yang lebih baik – bermaksud ianya lebih manis – daripada manga biasa.
Di Ladang Harum Manis Kubang Gajah, pengunjung berpeluang untuk menyaksikan banyak pokok-pokok Harum Manis dan boleh juga memetic buah mangga jika musimnya.
Harum Manis kebiasaannya diambil buahnya setahun sekali, selalunya di antara akhir April hingga akhir Jun. Mangga Harum Manis ini dibungkus di dalam beg kertas selama 65 hari untuk hasil yang terbaik.
Apakah yang boleh dimakan di Perlis?
Mee Zdin
Bermula dengan hanya mi rebus, mi goreng dan pasembor, Mee Zdin kini berkembang dengan menawarkan lebih 70 hidangan setelah beroperasi selama tujuh tahun.
Harga bagi hidangan yang dijual kekal sama seperti Mee Zdin mula berniaga dahulu (nasi goreng telur hanya RM4 dan minuman seperti teh dan kopi berharga RM1.50).
Restoran Mee Zdin juga menyediakan ruang majlis bagi sebarang sambutan istimewa dengan harga RM35 setiap jam.
Restoran ini dibuka setiap hari dari 7:30 pagi hingga 7:30 malam, kecuali hari Ahad.
Chortiez & Co Café
Chortiez & Co sangat terkenal di Kangar disebabkan steak dan masakan bakarnya, terutamanya Chicken Chop (dilitupi dengan madu lada hitam dan kuah keju cendawan) dan Lamb Chop disebabkan oleh daging yang tebal dan empuk. Chortiez & Co Café turut menghidangkan burger, pasta, nasi, mi dan hidangan-hidangan lain. Terdapat juga persembahan kugiran yang memainkan muzik menarik bagi menghiburkan anda semasa sedang menjamu selera!
Laksa Kak Su
Laksa Perlis adalah lebih kurang sama dengan Laksa Kedah, tetapi Laksa Perlis kebiasaannya dimakan dengan pulut udang (pulut nasi diisi dengan sambal udang pedas, dibalut dengan daun pisang) dan kuih spera (sejenis kuih seakan-akan karipap diisi dengan isi kelapa parut pedas).
Pastikan anda cuba Laksa Kak Su di Kuala Perlis kerana keistimewaannya datang dari urat laksanya yang dibuat sendiri serta dibanjiri kuah laksa pekat dihasilkan daripada ikan segar yang dilumat halus dan diiringi oleh pulut udang dan kuih spera.
Dibuka setiap hari dari 11:00 pagi hingga 6:00 petang, kecuali hari Selasa.
Kopitok
Sekiranya anda mencari sarapan yang enak, singgah sahaja ke Kopitok di Kangar, sebuah tempat makan yang kecil tetapi mempunyai pelbagai hidangan menarik.
Hidangan paling terkenal di Kopitok adalah nasi lemak pandan dengan ayam goreng berempah. Gabungan aroma daun pandan daripada nasi dan ayam goreng menjadikannya sebuah hidangan kegemaran ramai.
Terdapat juga beberapa pilihan makanan berasaskan nasi yang lain seperti nasi kukus yang boleh dimakan bersama dengan ayam goreng dan roti bakar dengan pelbagai sapuan berperisa seperti mentega kacang, coklat Nutella, mentega dan macam-macam lagi.
Pengunjung boleh menikmati hidangan sarapan pagi berbungkus yang lain seperti laksa dan kuih-muih tradisional yang terdapat di kaunter pembayaran.
Kedai ini beroperasi dari 7:30 pagi hingga 3:30 petang setiap hari, kecuali Ahad.
Hannah Cookies
Dengan suasana dan servis yang baik, Hannah Cookies merupakan tempat bersantai menarik yang menyajikan porsi makanan yang lumayan serta harga berpatutan.
Selain itu, Hannah Cookies menyajikan pencuci mulut dan kek yang menguji jiwa.
Pengunjung boleh memilih makan di bahagian dalam atau luar kedai.
Pastikan anda datang awal ke tempat ini kerana kebiasaannya ramai akan datang ke sini terutamanya pada waktu makan malam!
Waktu operasi adalah dari 12:00 tengahari hinggalah 10:30 malam pada hari minggu, dan dari 4:00 petang hingga 10:30 malam pada hujung minggu. Kedai ini ditutup pada hari Isnin.
Tempat penginapan di Perlis
Pusat Penginapan Tasik Tasoh
Pusat Penginapan Tasik Tasoh merupakan sebuah tempat yang bagus untuk anda inap ketika menjelajah Perlis.
Pusat penginapan ini menawarkan kepelbagaian alam dan pergerakan yang mudah untuk sampai ke tempat-tempat tarikan seperti Gua Kelam, Pusat Tinjauan Wang Kelian, Tasik Timah Tasoh, dan Padang Besar.
Nikmatilah suasana berdekatan dengan pusat penginapan ini bagi menikmati pemandangan indah Tasik Timah Tasoh, termasuk matahari terbenam.
Pusat Penginapan Tasik Tasoh menyediakan 34 kamar Superior dan tiga buah dewan (Orchid, Lanai dan Kelana) yang boleh digunakan untuk pelbagai acara.
Pusat penginapan ini mempunyai basikal dan motor elektrik untuk disewa, keretapi untuk kanak-kanak, flying fox, mendaki lereng bukit, perkhemahan, dan barbeku.
Artikel ini diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Aliff Ashraf.
Die Kojan
June 24, 2022 at 2:23 AMTaman Negeri Perlis, bukan Taman Negeri Perak.
Gaya Travel
June 27, 2022 at 11:54 AMTerima kasih. Kami sudah kemas kini.